Assalamualaikum....
Bercakap mengenai masalah, semua orang menghadapi masalah tidak kiralah pelajar sekolah, IPT, pekerja, atau ibu bapa, semua orang menghadapi masalah pada tahap-tahap tertentu dan setiap individu mempunyai cara tertentu dalam menangani masalah mereka. Setiap orang akan berfikiran, malapetaka, ujian, penyakit adalah masalah, tetapi mereka tidak menyedari bahawa kesenangan juga merupakan satu perkara yang boleh membawa kepada masalah lain.
Masalah dan Isu merupakan dua perkara yang berbeza. Misteri,
puzzle, dilema dan peluang adalah masalah dan perlu diselesaikan dengan kadar segera, manakala sesuatu isu perlu ditangani dengan lebih berhati-hati. Apa yang boleh saya simpulkan di sini ialah kebiasaannya, sesuatu isu melibatkan sesuatu perkara yang lebih besar skopnya. Masalah pula perkara biasa yang kita lalui hari-hari yang kadang-kala perlukan penyelesaian. Masalah yang dibiarkan tanpa jalan keluar akan menbawa kepada isu lain yang lebih teruk.
Sifat Penyelesaian Masalah
Sekiranya kita biasa dengan konsep, berfikir secara positif akan mewujudkan suasana yang positif. Perkara ini juga membantu individu apabila menghadapi sesuatu situasi yang sukar. Rasionalnya, apabila berfikiran positif, bukanlah masalah kita segera hilang, tetapi kita lebih berfikiran tenang dan lebih mudah dalam mencari jalan keluar. Samalah juga apabila kita dinasihati untuk menjauhi orang-orang yang mengeluarkan aura negatif, ini bermaksud kita menjauhi punca kepada masalah. Mereka yang sentiasa negatif ini akan memberi tekanan kepada orang lain dari pelbagai aspek dan itu merupakan satu masalah yang perlu kita elak.
Realitinya, kita semua mempunyai kemampuan dalam menyelesaikan masalah tetapi bergantung bagaimana kita mengawalnya. 4 ciri utama untuk menjadi penyelesai masalah yang berkesan adalah
Motivasi yang kuat, Personaliti positif, Jati diri dan Membina kemahiran. Kita perlu mempunyai azam yang kuat untuk menyelesaikan masalah, tidak mudah mengalah dan sentiasa berusaha ke arah itu. Mereka melihat masalah sesuatu yang tidak kekal dan boleh dihadapi dan menganggap masalah sebagai cara untuk menambah baik diri mereka. Penyelesai masalah tidak semestinya seorang yang cerdik dan pintar kerana ini berkait rapat dengan
attitude terhadap sesuatu masalah. Yakin dengan kemampuan walaupun belum pasti apa yang hendak dilakukan. Seseorang juga akan mecuba pelbagai cara yang difikirnya boleh untuk menyelesaikan sesuatu perkara.
Kategori Masalah
Seperti yang telah dibincangkan pada permulaan tadi, masalah terbahagi kepada beberapa kategori iaitu misteri,.tugasan (
assignment), kesukaran, peluang, tidak pasti dan dilema. Misteri adalah sesuatu perkara yang tidak dapat dirungkai dan sering kali dikaitkan dengan konspirasi beberapa pihak. Tugasan merupakan kontrak di antara ketua dan klien dan orang yang menjalankan kerja tersebut maka sesuatu tugasan perlulak disiapkan mengikut kehendak orang atasan dan menepati ciri-ciri yang digariskan. Kesukaran terbahagi kepada subjektif dan objektif. Kesukaran objektif ialah sifat negatif atau mental blok manakala kesukaran objektif pula ialah perkara yang menghalang kemajuan individu seperti kemahiran, ilmu pengetahuan dan motivasi. Setiap masalah mempunyai tahap kesukarannya masing-masing. Peluang juga menjadi masalah apabila kita tidak tahu sama ada peluang yang datang adalah sesuatu yang baik untuk kita ambil atau tidak. Seterusnya tidak pasti (puzzles) ialah apabila kita tidak tahu mana jawapan yang betul dan salah dan kita perlu menyelesaikan kekaburan dan keadaan yang kompleks untuk mendapatkan jawapan. Akhir sekali, apabila kita berada di situasi yang sukar bagi kita untuk mencari penyelesaian dan menentukan cara terbaik untuk melakukannya bermakna kita mengalami dilema. Lazimnya, apabila berada dalam dilema, terdapat dua pilihan yang kelihatan seperti cara yang betul dan tepat. Maka, sukar untuk membuat keputusan yang betul-betul tepat.
Penyelesaian Masalah secara Saintifik dan Logik
Langkah
Pertama : Mendefinisikan Masalah- Apa yang berubah yang membuat kita merasa tertekan atau tidak tenang? Apabila kita tahu masalahnya, kita boleh hapuskan puncanya.
Langkah
Kedua : Pengelasan Masalah- Mengikut tahap risiko sesuatu masalah dimulai dari yang tinggi risiko hingga risiko rendah dan lebih baik mengaplikasikan mengikut kategori masalah.
Langkah
Ketiga : Tentukan Objektif- Apakah objektif yang ingin dicapai? Pastikan objektif jelas, relevan dan mampu dicapai.
Langkah
Keempat : Tentukan Ukuran Kejayaan- Hal ini bermakna kita perlu menetapkan standard atau piawaian untuk memberitahu diri sendiri bahawa kita perlu capai satu tahap tertentu justeru kita akan lebih jelas tentang matlamat yang ingin dicapai.
Langkah
Kelima : Kutipan Data- Ini merupakan cara untuk menyelesaikan masalah secara logikal. Setiap individu yang mempunyai masalah akan meyelesaikan puncanya dan kebiasannya melibatkan bidang profesional. Segala data atau maklumat boleh diperolehi melalui pemerhatian, pengalaman dan banyak lagi sumber lain yang boleh digunapakai. Maka, amat penting untuk kita mengetahui maklumat apa yang diperlukan, prosedur yang terlibat, faktor-faktor yang boleh menerbitkan maklumat, memastikan maklumat mudah dirujuk dan mewujudkan pilihan untuk membuat keputusan berdasarkan data yang telah diperolehi. Kemudian, beberapa cadangan kepada masalah dikeluarkan untuk memudahkan proses penyelesaian dilakukan.
Langkah
Keenam : Membuat Keputusan- Langkah ini hadir setelah kita menjadi jelas akan perkara-perkara yang disebutkan di atas. Pendapat daripada orang ramai juga amat penting untuk mendapat kesepakatan dalam membuat keputusan.Walaubagaimanapun terdapat beberapa aspek lain yang perlu diambil berat sebelum membuat keputusan iaitu seperti kesan, kos dan lain-lain.
Langkah
Ketujuh : Melaksanakan Keputusan yang Diambil- Tahap ini dimana kita akan melaksanakan keputusan yang kita yakini mampu menyelesaikan sesuatu perkara dengan berkesan. dalam melaksanakan keputusan kita perlu ada keyakinan, kesungguhan, teliti, kemahiran,penyesuaian dan kebolehan bekerja dalam kumpulan.
Seterusnya, berlakulah penilaian atau
review yang memberi gambaran tentang hasil daripada keputusan yang diambil. Perkara yang dinilai ialah langkah-langkah yang diambil, kejayaan yang diperolehi. Kecekapan individu juga dinilai dan semua penilaian ini dilakukan untuk mengenalpasti kelemahan yang wujud.
Penyelesaian secara Saintifik.
Masalah juga boleh diselesaikan secara saintifik yang melibatkan proses empirikal induktif. Pertama, dengan mengadakan hipotesis atau hujah atau anggapan membuatkan kita berfikir dan membuat kajian untuk membuktikan suatu hipotesis itu benar atau tidak. Kedua, mengumpul maklumat amat penting untuk menyokong hipotesis. Peringkat ini membezakan kaedah saintifik dan tidak saintifik. Kaedah tidak saintifik akan dianggap benar sahaja tanpa perlu dibuktikan.Kebanyakan manusia hanya mampu berfikir secara saintifik dalam akademik tetapi tidak di dalam kehidupan mereka. Ketiga, membuat kesimpulan bermaksud keputusan hanya boleh dibuat jika ada bukti. Kesimpulan yang dilakukan secara tergesa-gesa merupakan kesalahan dalam berfikir dalam kata lain, kita cepat menghukum sesuatu sebelum mengetahui kesahihannya.
Penyelesaian secara Kreatif/Lateral
Berkemungkinan kita tidak dapat mencari penyelesaian kreatif kerana kita mempermudahkan masalah itu, tidak mahu melihat perkara disebaliknya, dan tidak menyoal semula andaian yang kita gunakan. Sehubungan dengan itu, cara baru perlu diwujudkan untuk menilai situasi tersebut.
Antara ciri-ciri untuk menyelesaikan masalah secara kreatif adalah tidak bersifat kritikal dimana tidak mementingkan sama ada hal tersebut betul atau tidak. Kemudian, tidak bersifat analitikal bermaksud hanya menilai di permukaan, tidak secara mendalam dan semata-mata untuk mencari jalan keluar sahaja. Pemikiran ini disebut sebagai
parallel atau selari.Generatif dan inovatif untuk membuat perubahan tanpa terikat dengan akibat selepasnya. Dengan kata mudah, kebebasan berfikir tanpa memikirkan perkara lain yang menghalang seseorang untuk berpandangan dari sudut yang berbeza.
Kemunculan buku oleh Edward De Bono yang membincangkan tentang kaedah Enam Topi Berfikir telah menyenaraikan jenis-jenis pemikiran yang berlaku. Antaranya ialah :
Topi Hijau - Lambang kepada pemikiran kreatif dan mempunyai banyak idea dan topi ini diguna pada permulaan untuk mencari idea-idea alternatif.
Topi Kuning - Lambang pemikiran positif dan konstruktif dan berfungsi untuk melihat segi-segi faedah dan kebaikan setiap idea terutama yang mempunyai banyak kelemahan.
Topi Putih - Lambang pemikiran objektif yang dipakai untuk mencari fakta tanpa emosi dan prejudis.
Topi Hitam - Lambang pemikiran negatif dan kritikal yang mencari keburukan dan kesalahan sesuatu idea.
Topi Merah - Lambang pemikiran emotif iaitu mengambil kira perasaan dan gerak hati orang lain terhadap sesuatu idea.
Topi Biru - Lambang langit di atas dan dipakai ketua untuk mengawasi topi-topi lain bekerja.

Kemudiannya, penulis yang sama membincangkan pula tentang kaedah Enam Kasut Bertindak iaitu:
Kasut Formal Biru Laut- melakukan tindakan secara formal, biasa, mudah dan ringkas seperti kerja rutin.
Kasut kelabu- tindakan menyelidik, mencari bukti, maklumat dan idea baru.
Kasut perang- tindaan secara praktikal, nyata, lasak, tidak formal, fleksibel dan berkesan.
Boot oren- tindakan secara cemas, krisis, risiko, segera dan berani
Selipar merah jambu- tindakan secara prihatin, berperikemanusiaan, kasih sayang, lemah lembut, mesra dan ikhlas.
Kasut tunggangan ungu- tindakan secara uasa, rasmi, kepimpinan dan bertanggungjawab.

Ada juga individu yang menyelesaikan masalah dengan perasaan dan mengikut ajaran Islam. Apabila sesuatu penyelesaian menemui jalan buntu, manusia cenderung untuk mengikut perasaan. Setiap individu mempunyai kebolehan tertentu dalam menggunakan perasaan mereka untuk menghadapi masalah.Individu yang pintar tidak semestinya mempunyai kebolehan dalam mengawal perasaannya. Tidak semua orang boleh bertindak secara tenang jika dihimpit dengan pelbagai tekanan, justeru penyelesaian masalah sangat berbeza mengikut individu. Kecerdasan pemikiran dan kecerdasan emosi akan memudahkan individu itu menghadapi masalahnya. Dari segi agama Islam, hukum dan pendekatan sufi menjadi panduan khususnya bagi umat Islam dalam menyelesaikan apa-apa perkara yang berbangkit. Pendekatan hukum bersifat rasional dan intelektual. Bagi hukum qat'i, iaiya tegas dan jelas dan wajib dipatuhi kecuali dengan alasan tertentu seperti darurat, cacat dan lain-lain lagi. hukum ijtihadi bersifat nasional dan berubah mengikut perubahan masa dan tempat. Hukum ini sering menjadi rujukan bagi setiap permasalahan yang timbul. Pendekatan sufi lebih kepada sifat morat dan spiritual, lembut serta lunak jika dibandingkan dengan pendekatan hukum. Menurut pendekatan ini, masalah perlu difahamkan dengan hakikat masalah, sebabnya dan kaedah penyelesaian.Perkara yang terakhir itu perlu melalui proses
tazkiyyah an-nafs iaitu Pembersihan diri (
takhalli) dari sifat
mazmumah dan Menghias diri (
tahaffi) dengan sifat mahmudah.
Secara kesimpulannya, manusia merupakan hidupan yang unik dan mempunyai banyak kelebihan dan kelemahan masing-masing dimana sifat seseorang itu boleh dilihat melalui caranya berfikir. Ketinggian ilmu seseorang juga boleh dilihat melalui pemikirannya yang lebih cenderung ke arah ilmiah dan menpunyai sifat kesederhanaan dalam apa-apa yang dilakukannya.